Sinopsis Drama TV3 Selamat Pengantin Madu
Selamat Pengantin Madu mengisahkan
Hana (Fasha Sandha) yang mengecapi kebahagiaan rumah tangga bersama suaminya,
Zulkifli (Aiman Hakim Ridza) tiba-tiba dilanda tamparan hebat dengan kehadiran
orang ketiga dalam hidup mereka. Lebih buruk apabila orang ketiga itu sah
bergelar madunya.
Bersiaran sebanyak 13 episod, drama
arahan Ibrahim Ilyas untuk produksi Pesona Pictures itu mempertaruhkan Fasha
Sandha dan Aiman Hakim Ridza sebagai teraju utama Selamat Pengantin Madu. Penuh
dengan elemen kekeluargaan dan cabaran bermadu, drama itu dilihat bakal
mendapat tempat di hati para penonton.
Fasha Sandha membawakan watak Hana
seorang isteri mithali yang melaksanakan segala tanggungjawab sebagai seorang
isteri kepada suaminya yang tersayang, Zul. Dalam usia 30-an, Hana merasakan
dia telah mengecapi segala impiannya terutama dalam memiliki sebuah keluarga
bahagia. Hana juga dikurniakan dua cahaya mata iaitu Isya dan Shafik. Hidup
mereka juga agak mewah kerana Zul memegang jawatan tinggi di sebuah syarikat
swasta. Hana digambarkan sebagai seorang wanita yang taat kepada suami dan hanya
meluangkan masa lapangnya bersama keluarganya sahaja. Malah undangan rakan
sepejabatnya terbatas apabila di luar waktu kerja.
Zul pula memang menjalankan tugasnya
sebagai suami yang bertanggungjawab. Dilihat sentiasa ceria dan suka
berseloroh, menjadikan Zul seorang yang mudah didampingi. Namun sebermula kisah
ini dikembangkan, wujud seorang lagi watak antagonis lakonan Eina Azman sebagai
Masmira. Kewujudan wataknya yang mulanya misteri kini menjadi tamparan hebat
buat Hana. Apatah lagi apabila menerima sepucuk surat menceritakan wanita itu
telah diperisterikan Zul.
Wanita mana yang sanggup dimadukan?
Lantas dunia Hana gelap seketika cuba mencari kekuatan dalam menempuh dugaan
dan pembohongan Zul. Sebaik mana juga Hana namun pasti ada sekelumit perasaan
hati yang terguris. Namun, dengan jalan cerita yang unik, Hana menerima nasihat
rakannya agar cuba menerima baik takdir yang menimpanya dengan melakukan
perubahan positif.
Sedar bahawa anak-anaknya tidak boleh
menerima kenyataan bahawa Zul telah menduakan ibu mereka menyebabkan Hana
simpati dan tetap cuba menjayakan rumah tangganya. Namun niat baik Hana bakal
berhadapan jalan sukar apabila Masmira menginginkan yang sebaliknya. Tamak
dengan kasih sayang dan menginginkan perhatian penuh Zul, Masmira bakal cuba
memiliki Zul sepenuhnya. Mampukah Hana bertahan? Apakah rancangan jahat
Masmira? Saksikan “Selamat Pengantin Madu” di slot Lestary setiap hari Rabu dan
Khamis jam 9.00 malam hanya di TV3 untuk mengetahui apakah yang bakal terjadi
kepada keluarga Hana.
No comments:
Post a Comment